Sunday, June 21, 2009

RAJA & 'ABID AL-MUKHLIS

Pada suatu hari seorang Raja menyamar menjadi orang kebanyakan, berjalan-jalan di kawasan pemerintahannya untuk melihat hal-ehwal rakyatnya. Beliau terjumpa dengan seorang budak sedang mengembala kambing. Lalu Raja menyapa:"Wahai budak, siapakah nama kamu?". Budak itu menjawab : "Nama saya ialah Abid Al-Mukhlis". Raja bertanya :"Sudikah Abid menjual seekor kambing kepada saya?". Abid menjawab: "Tidak ! kambing ini bukan milik saya. Saya hanya disuruh mengembala kambing sahaja oleh tuan saya ". Lalu Raja berkata: "Wahai Abid ! Jangan jadi bodoh, Abid boleh jual seekor kambing kepada saya tanpa pengetahuan tuan Abid.Sekiranya tuan Abid bertanya tentang kambing yang seekor itu, Abid katakan kepadanya bahawa seekor kambing itu telah dibaham oleh binatang buas". Abid Al-Mukhlis tersenyum dan berkata:

"Wahai tuan hamba, saya boleh berbohong dengan tuan saya tetapi saya tak mungkin berbohong dengan TUHAN saya, ALLAH "....

Raja bertanya lagi : " Mengapa 'Abid berkata begitu " 'Abid Al-Mukhlis menerangkan..."

1.Saya beriman kepada ALLAH yang menjadikan saya dan tuan hamba. Dialah yang memiliki dan menguasai Alam Semesta ini. Dialah yang memiliki Sifat-Sifat Kebesaran dan Keagungan.Maha mengetahui,melihat,mendengar apa yang tersurat dan tersirat, zahir dan tersembunyi.Dialah ALLAH yang Satu, yang layak disembah. Seluruh pengabdian hanyalah kepadaNYA.

2.Saya beriman dengan kewujudan malaikat yang mencatat dan merekodkan setiap amalan manusia samada baik atau buruk. Saya tidak ingin mengotori buku catatan amalan saya dengan dosa berbohong.

3.Saya beriman dengan Hari Pembalasan yang mana semua manusia akan menempuhinya. Saya takut akan azab pedih yang tak mampu untuk saya menanggungnya walau segagah, sekuat dan sehebat manapun saya.

4.Saya berharap dan berdoa semoga pengakhiran hidup saya di dunia ini dengan pengakhiran yang baik kerana saya akan mati, tidak akan hidup selama-lamanya. Saya tidak mengetahui saat kematian saya.Saya tak mampu menagguh ajal saya walaupun sesaat. Dan sekiranya saya memilih untuk menjual kambing itu, kemungkinan itulah saat kematian saya.

5.Saya mesti melaksanakan Amanah dengan penuh kejujuran dan bertanggungjawab. Saya tak akan mengkhianati Amanah yang telah dipertanggungjawabkan oleh tuan saya. Saya takutkan murka ALLAH.

6.Saya bekerja dan berusaha untuk mendapat rezeki yang halal lagi baik. Seluruh anggota badan saya merasa ringan untuk beribadah kepada ALLAH. Ini kerana darah daging saya tumbuh dari memakan rezeki yang diredhai oleh ALLAH. Darah daging yang tumbuh dari sumber yang haram, membuatkan hati kita hitam, anggota badan malas untuk taat dan beribadah dan azab nerakalah balasannya.

7.Saya memberi nafkah kepada keluarga saya dengan rezeki yang halal. Saya tak sanggup melihat anak-anak saya membesar dengan rezeki yang haram.

8.Saya tak sanggup melakukan dosa kerana bersubahat dengan tuan hamba melakukan kemungkaran.

9.Wahai tuan hamba, berimanlah kepada ALLAH, takutlah azab ALLAH ".